Sabtu, 08 Februari 2014

Mat Sabu Pas bincang mekanisme isytihar aset

sinarharian
15 November 2012
 Muktamar Pemuda Pas
Barisan pucuk pimpinan Pas Pusat menunjukkan simbol royalti selepas perasmian Muktamar Pemuda Pas ke-58 di sini semalam.
KOTA BHARU – Pas akan membincangkan mekanisme secara menyeluruh berhubung pengisytiharan aset kesemua Exconya pada muktamar kali ini sebelum mengemukakan kepada umum kaedah yang sesuai untuk diterima pakai.

Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam muktamar kali ini bagi mengenal pasti mekanisme terbaik untuk pengisytiharan aset tersebut.

Katanya, parti bersetuju dengan cadangan dikemukakan oleh Pemudanya tetapi perlu mencari mekanisme yang tepat sebelum melaksanakan pengisytiharan aset.

“Tadi saya sebut akan memulakan isytihar harta tapi oleh kerana mekanismenya belum ditentukan dan ia perlu melalui mesyuarat. Saya tiada masalah malam ini pun boleh beritahu tetapi ia perlu mekanisme supaya ia menyeluruh.

"Bagi saya secara peribadi malam ini boleh isytihar tapikerana nak isytihar bersama maka biarlah ia mekanisme daripada parti.

“Pengisytiharan harta semua dah setuju cuma caranya sahaja maka kita akan bawa ke muktamar Jumaat ini (esok) hingga Ahad sebelum kita kemukakan mekanisme tersebut sama ada kepada rakyat, kerajaan dan orang ramai serta bagaimana untuk buat pemeriksaan selepas berkuasa empat atau lima tahun,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu, Mohamad menjelaskan akan mengisytiharkan aset peribadinya, ketika berucap merasmikan Muktamar Pemuda Pas ke-53 di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu di sini.

Menurutnya, langkah tersebut perlu dilaksanakan Pas kerana mereka berazam untuk menjadi kerajaan berkebajikan di bawah Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, sebagai agenda utama dalam memerangi rasuah dan penyelewengan, maka mereka yang mengambil alih pemerintahan negeri dan persekutuan mestilah bersih dan telus.

“Menjadi kesungguhan Pemuda dan parti kita betul-betul menghayati apa yang disarankan.

“Kami berazam untuk menjadi kerajaan baik berkebajikan di bawah PR dan ia merupakan antara agenda utama supaya dilihat bersih,” katanya.

Mohamad Sabu berkata, rakyat sudah muak dengan penyelewengan dan rasuah yang berlaku maka disebabkan itu Pas mahu melaksanakan langkah tersebut bagi menukar sistem pentabdiran yang tak mampu dipulihkan lagi.

“Bukan tiada orang dalam Barisan Nasional (BN) yang nak banteras rasuah tetapi mereka tak berupaya maka sebab itu perlukan kerajaan baru.

“Rakyat dan letih dengan penyelewengan dan rasuah jadi apa kita buat ini adalah untuk tukar sistem pentadbiran yang tak dapat dibaiki lagi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, cadangan dikemukakan oleh Pemuda adalah bernas tetapi ia perlu diteliti sepenuhnya daripada aspek mekanisme untuk melaksanakannya.

“Dalam kerajaan sendiri ada amalkan ini tetapi ia terbatas kepada penjawat awam dan mengisytiharnya kepada perdana menteri. Kita sendiri pun ada buat dalam bentuk dalaman. Kita perlu ada kaedah yang difahami dan telus. Hal ini memerlukan jawatankuasa untuk teliti kaedahnya,” katanya.

Ketika ditanya pemberita sama ada pelaksanaannya akan dijalankan menjelang pilihan raya akan datang, Mustafa tidak menolak perkara itu dan menjelaskan bahawa ia akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti dalam perbincangan diadakan nanti

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya mencadangkan seluruh Exco dan Pemuda mengisi borang pengisytiharan harta sebelum diserahkan kepada ketua dan seterusnya kepada presiden.

“Kemudian apabila muktamad calon-calon tersebut pengisytiharan itu akan didedahkan kepada umum,” katanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar