Kamis, 20 Februari 2014

Empat wilayah masih terjejas

Petaling Jaya: Proses pemulihan bekalan air di kawasan yang mengalami gangguan akibat tumpahan minyak di Sungai Selangor, Khamis lalu semakin positif apabila hanya tinggal 13 peratus daripada lebih 900,000 akaun pengguna yang masih terjejas sehingga petang semalam.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) Priscilla Alfred berkata, 194,949 akaun yang masih terjejas itu membabitkan sebahagian kawasan di empat wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam dan Gombak.

“Sebahagian kawasan di keempat-empat wilayah itu masih mengalami gangguan bekalan air berikutan tekanan rendah manakala bekalan air pulih sepenuhnya di wilayah Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

“SYABAS memang menjangkakan tempoh pemulihan bekalan air di semua kawasan gangguan memakan masa yang agak panjang walaupun semua loji terbabit beroperasi semula sepenuhnya di tahap maksimum dan melebihi kapasiti.

MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel (tiga dari kiri) melihat pelampung yang digunakan untuk menghalang tumpahan lebih buruk ketika melawat tempat kejadian di sebuah kilang di Jalan Batu Arang, Sungai Bakau, Rawang, semalam.

“Ini disebabkan rizab kapasiti bekalan air terawat yang kecil pada kadar sekitar satu peratus saja dan tiada kapasiti lebihan untuk mengisi kolam air yang sudah menjadi kosong disebabkan henti tugas loji rawatan air berkenaan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.


Sementara itu, penduduk Kampung Tunku, Petaling Jaya, Syed Khalil Syed Mohamad, 65, berkata, disebabkan air daripada tangki kediamannya habis digunakan sejak Sabtu lalu dia dan keluarganya terpaksa menadah hujan untuk digunakan dalam aktiviti seharian. 

“Boleh dikatakan hampir semua aktiviti harian seperti mandi, membasuh dan memasak tidak dapat dilakukan disebabkan bekalan air terputus. 

“Paling dikesali, kesukaran mengambil air sembahyang berikutan tiada langsung bekalan air. 

“Bagaimanapun, syukur kerana SYABAS ada menghantar bekalan air hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Syed Khalil berkata, sehingga semalam bekalan masih belum pulih malah aliran air yang ada terlalu kecil dan dia berharap keadaan kembali pulih segera supaya semua aktiviti dapat dilakukan seperti biasa. 

Penduduk Rumah Pangsa Sri Aman Erme Harilini Zulkifli, 29, pula berkata, bekalan air di kediamannya terputus kira-kira jam 11 pagi, semalam. 

“Biasanya kalau berlaku gangguan air, kawasan ini jarang terjejas tapi aliran air semakin perlahan sejak sebelah malam Sabtu dan akhirnya bekalan terputus sepenuhnya jam 11 pagi tadi (semalam) dan menyebabkan semua aktiviti harian tergendala,” katanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar