Jumat, 07 Maret 2014

Lelaki Iran Letup Kereta Dipenjara


Bangkok – Seorang lelaki Iran yang meletupkan bom hingga kaki sendiri putus, dipenjara seumur hidup oleh mahkamah Thailand, semalam.

Dia bersalah kerana terbabit dalam komplot pengeboman yang menggegarkan ibu kota ini tahun lalu walaupun gagal selain dikutuk Israel.

Hakim mahkamah mendapati Saeid Moradi, 29, bersalah atas cubaan membunuh dalam serangan yang dikatakan pihak berkuasa menyasarkan diplomat Israel.

Defendan kedua, Mohammad Khazaei, 43, pula dihukum penjara 15 tahun kerana memiliki peralatan bom.

Lima cedera dalam beberapa letupan di ibu kota Thailand pada 14 Februari 2012.

Mangsa cedera, termasuk Moradi yang kedua-dua kakinya putus apabila bom yang dibawanya meletup ketika cuba membalingnya ke arah anggota polis.

Sasar isteri diplomat Israel

Letupan itu dikaitkan dengan satu serangan bom kereta ke atas isteri seorang diplomat Israel di India dan serangan ketiga yang turut gagal di Georgia, sehari sebelumnya.

Israel menuduh musuh ketatnya, Iran sebagai pihak yang merancang serangan. Tehran menafikan tuduhan itu.

Keputusan mahkamah dialu-alukan seorang diplomat Israel di Thailand yang turut mengutuk kejadian pengeboman itu.

Khazaei ditahan di lapangan terbang antarabangsa utama di sini ketika cuba menaiki penerbangan ke Malaysia. Moradi ditahan di tempat kejadian pengeboman.

Suspek ketiga tak hadir

Ketika memberi keterangan, Kharzei berkata, dia bukan pengganas dan tidak terbabit dalam letupan itu selain tidak mengenali Moradi hingga mereka bertemu di sebuah lapangan terbang di Tehran sebelum menaiki pesawat ke Thailand.

Suspek ketiga, Masoud Sedaghat Zadeh, ditahan di Malaysia selepas melarikan diri dari Thailand sejurus selepas letupan berlaku.

Jurucakap polis Thailand berkata, Malaysia membenarkan Zadeh diekstradisi ke Thailand, namun suspek itu masih belum dibawa ke sini untuk mendengar tuduhan ke atasnya. – REUTERS

Tidak ada komentar:

Posting Komentar