Senin, 16 Desember 2013
Had waktu operasi premis makanan
Mohamed Idris menunjukkan kenyataan mengenai makanan yang menyebabkan diabetes.
GEORGETOWN - Premis makanan perlu diberi had waktu operasi bagi membendung masalah obesiti dalam kalangan masyarakat di negara ini khususnya kanak-kanak.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S M Mohamed Idris berkata, kerajaan perlu bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang mengehadkan waktu operasi premis makanan.
Beliau berkata, kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi membendung masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak sehingga mendapat penyakit diabetes.
“Kebanyakan restoran beroperasi 24 jam dan ini menjadi punca rakyat negara ini suka makan lewat malam. Selepas makan, mereka tidak melakukan aktiviti dan terus tidur.
“Sikap itu akan menyebabkan pertambahan berat badan yang serius sehingga boleh mendapat penyakit diabetes,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Selain itu, restoran makanan segera yang beroperasi 24 jam menyediakan makanan mengandungi kandungan lemak, garam dan gula (minuman ringan) tinggi.
Menurutnya, kerajaan sepatutnya mengehadkan waktu operasi sehingga 9 malam bagi mengelakkan orang ramai makan pada lewat malam.
“Mengapa makan pada waktu malam yang sepatutnya pada waktu itu kita perlu tidur? Ada yang menonton televisyen sambil makan makanan segera. Itu bukan tabiat yang baik kerana mengundang pelbagai penyakit jika tidak dibendung.
“Mengapa kita perlu ‘bayar’ makanan yang mahal untuk musnahkan diri sendiri? Kerajaan perlu pertimbangkan cadangan ini demi kesihatan rakyat di negara ini,” katanya.
Mohamed Idris menggesa pihak berkuasa mengenakan cukai ke atas makanan yang tidak menyihatkan khususnya mengandungi kandungan gula, garam dan lemak yang tinggi.
“Selain mengenakan cukai, kerajaan perlu meletakkan amaran kesihatan dan warna amaran pada label makanan. Cadangan lain ialah melarang penjualan minuman ringan dalam saiz besar serta menyediakan tempat rekreasi di semua kawasan kediaman.
“Kerajaan wajar menghapuskan mesin yang menjual minuman ringan, gula-gula dan makanan yang tidak berkhasiat di tempat awam khususnya sekolah dan hospital,” katanya.
Menurutnya, jumlah penduduk mencecah 28 juta orang dengan kadar kelaziman berlaku penyakit sebanyak 15 peratus. Dianggarkan terdapat 4.2 juta penghidap diabetes di negara ini. - SinarOnline
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar